Pages

Wednesday, December 31, 2014

Adam Mujahid

27 Disember 2014.

Hari ni genap anakku berusia 50 hari. Adam Mujahid Bin Mohamad Naim yang telah selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya pada 8 November 2014 pada jam 4.43 petang waktu Malaysia. Dilahirkan secara pembedahan dengan berat 2.82 kg. 

Sebenarnya aku telah berada di hospital sejak jam 5 pagi. Hospital Putrajaya menjadi pilihan isteriku untuk melahirkan anak pertama walaupun Hospital Serdang lebih dekat dengan kediaman kami. Aku hanya mengikut sahaja sebab keselesaan adalah yang lebih penting untuk seorang isteri melahirkan zuriat. Hanya sekadar pendapat aku. 

Dalam perancangan, isteriku nak bersalin normal walaupun doktor mencadangkan supaya dilakukan pembedahan. Tapi isteriku tetap ingin mencuba bersalin normal. 

Setelah hampir 5 jam bertarung nyawa di dalam bilik bersalin, doktor membuat keputusan supaya isteriku dibedah. Aku setuju sebab doktor cakap degupan jantung anakku semakin lemah. Isteriku redha walaupun masih belum bersedia untuk dibedah. 

Isteriku ditolak ke bilik pembedahan lebih kurang jam 4.15 petang. Aku tidak dibenarkan masuk bersama. Aku dan beberapa ahli keluarga yg lain diarah menunggu di bilik menunggu yg disediakan. Aku cemas. Macam-macam andaian bermain di fikiran. Semua drama yang pernah aku tonton berputar kembali di benak fikiran. Astaghfirullahal'azim.. Aku kembali berserah kepada Allah. Aku redha dengan segala ketentuanNya.

Allahuakbar Allahuakbar..
Aku mengazankan zuriat pertamaku dengan linangan air mata. Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Alhamdulillah syukur ke hadratMu Ya Allah..


Terima kasih kepada isteri tercinta atas hadiah yg terindah ini. 

Saturday, November 8, 2014

Menanti Mujahidku..

8 november 2014.

Dewan Bersalin, Hospital Putrajaya.

Pejam celik pejam celik, dah cukup tempoh 40 minggu isteriku berbadan dua. Satu tempoh panjang, tapi terasa terlalu pantas masa berlalu. Satu tempoh yang sangat  indah bagi kami suami isteri. Manakan tidak, apabila hajat yang sekian lama terpendam telah dimakbulkan Allah Tuhan Robbul Jalil.

Sebenarnya tarikh jangka bersalin pada 3 November 2014. Dah lewat 5 hari dari tarikh jangkaan. Bagi minggu-minggu akhir ni aku rasa macam masa bergerak terlalu perlahan. Dari hari ke hari kami tunggu ketibaan hari bahagia ini. Buat masa ni, isteri tercinta dah masuk  dalam untuk pemeriksaan. Bila lihat ke muka isteri, terpancar kegembiraan dlm kesakitan. Aku pulak memang berdebar-debar je jantung ni. Semoga semuanya selamat. 

Aku bermohon kepada Maha Pencipta, "Kau permudahkanlah segala urusan kami ini Ya Allah. Kau kurangkanlah rasa sakit yang ditanggung isteriku. Sesungguhnya dia adalah isteri mithali yang aku cintai. Kau berikanlah kekuatan kepadanya untuk melalui segalanya. Kau kurniakanlah kami zuriat yg soleh. Yang sentiasa menjadi penawar untuk kami. Zuriat yang mendapat keredhaanMu Ya Allah. Semoga kau permudahkan bagi kami. Engkaulah Tuhan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Aminn"

Tuesday, September 9, 2014

ADAB KEJUTKAN ANAK DARI TIDUR


ADAB KEJUTKAN ANAK DARI TIDUR

Cara atau adab mengejutkan anak yang tidur, tidak kira anak yang masih bayi, kanak - kanak , remaja atau dewasa.

1. Beri salam kepada anak yang sedang tidur

2. Sentuh hujung ibu jari kakinya dan goyangkannya perlahan -perlahan.

3. Panggil namanya dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya.

4. Kalau masih belum sedar, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya.

5. Teruskan memanggil namanya dan panggillah sayang, manja atau anak.

6. Kejutkannya sambil memujinya contoh: Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin.

7. Sebaik saja anak bangun, gosok kepalanya sambil bercakap dengan lembut agar ia mandi , solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.

8. InsyaALLAH , anak anda akan bangun dengan badan yang segar dan minda yang cergas kerana dikejutkan dengan penuh kasih sayang.

Cara ini juga boleh dilakukan kepada suami isteri tersayang atau sesiapa saja.. (^_^)

Thursday, June 19, 2014

Dr. A

Entry ini telah di'edit' dari entry asal.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kehadapan Dr. A,

Pagi tadi (19 Jun 2014) saya ada ke Klinik Kesihatan BBBangi menemani isteri untuk pemeriksaan bulanan kehamilan. Saya dan isteri difahamkan hari ni akan buat scan. Setelah lama menunggu, hampir jam 12 tengahari isteri dipanggil untuk berjumpa dengan Dr. A. Isteri masuk seorang diri sebab suami tak dibenarkan masuk. Isteri saya pun masuk ke dalam bilik pemeriksaan.

Dr. meminta isteri saya duduk dengan menggunakan isyarat tangan tanpa sepatah kata. Setelah membaca rekod buku merah, tanpa melihat kepada isteri saya, tanpa sepatah kata, dengan muka masam mencuka, Dr. meminta isteri saya bangun dengan isyarat tangan. Dr. menunjukkan ke arah kain isteri saya menandakan arahan supaya membuka kain untuk mulakan pemeriksaan tanpa sepatah kata. Isteri saya masih menurut. Pemeriksaan dan scan dijalankan. Selesai.

Kemudian, Dr memulangkan buku merah isteri saya tanpa sepatah kata. Juga tanpa melihat kepada pesakit. Mungkin menandakan semuanya telah selesai dan "awak boleh keluar". Lalu isteri saya bertanya kepada Dr., "So, macam tu je ke?" Dan Dr. membalas, "Ya, semua sihat. Itu je la. Kalau awak nak lebih-lebih lagi boleh pergi ke klinik swasta." Dengan sombongnya.

Dr. A.
Beginikah caranya awak menjalankan tugas sebagai seorang Doktor Perubatan. Di klinik kerajaan. Bukan masalah ini klinik kerajaan atau klinik swasta. Di mana letaknya keikhlasan awak sebagai seorang Doktor menjalankan tugas? Sekiranya pendapatan daripada pekerjaan awak ini digunakan untuk anak-anak awak, di mana berkatnya? Adakah apabila seseorang itu datang ke klinik kerajaan, layanan yang diberikan adalah seteruk ini? Di mana keikhlasan awak menjalankan tanggungjawab? Adakah awak memperlakukan sebegini kepada semua pesakit awak di klinik kerajaan? janganlah terlalu sombong hanya kerana awak seorang doktor. Semuanya milik Allah. Jalankan tanggungjawab dengan amanah. bukannya sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga.

Dr. A,
Saya bertanya kepada jururawat tentang sikap awak yang sombong. Jururawat beritahu awak doktor luar. Mungkin awak ada klinik sendiri. Dan disebabkan itulah awak bersikap sombong dan kurang ajar dengan pesakit di klinik kerajaan. Mungkin bayaran yang awak dapat di klinik kerajaan terlalu rendah dibandingkan pendapatan di klinik swata. menyebabkan awak menjadi doktor yang ala kadar. Sedih bila memikirkan sikap seorang doktor melayu yang sombong. Kalau beginilah sikap awak, berhenti sajalah menjadi seorang doktor. Awak tidak layak.

Hanya sekadar teguran atas ketidakpuasan hati. Senyuman itu sedekah.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,
Encik Suami.


Tuesday, June 3, 2014

Cadbury- DNA Khinzir


Sekejap ada, sekejap tiada..

Wednesday, April 23, 2014

Driver

Assalam..

Sekarang ni aku punya jadual harian dah lain sikit. Semuanya berubah selepas aku bertukar tempat kerja. Masa kerja kat KPKT dulu, pukul 7.45pagi baru la aku akan keluar rumah utk ke tempat kerja. Menaiki kereta persona putih. 

Tapi sekarang ni dah upgrade sikit. Sejak kerja di JKR WPKL ni hari-hari pergi kerja ada driver. Dah tak payah nak drive sendiri. Kenderaan pun dah makin hebat. Dah tak naik proton dah. Haha. Sombong sikit. Tapi keluar rumah awal sikit la. Pukul 7 pagi dah kena keluar. Office kat KL jauh la sikit.

Terima kasih KTM sebab sudi jadi driver sepenuh masa aku sekarang ni. Pergi dan balik kerja kau sedia menjemputku. 

Tuesday, April 1, 2014

Selamat Tinggal KPKT

1 April 2014.

Semalam hari terakhir aku di KPKT setelah lebih 3 tahun menabur bakti. Rumah PPR, Balai Bomba dan Insinerator telah aku tinggalkan. Nota serah tugas pun aku dah bagi. Rasa sedih pun ada jugak nak tinggalkan KPKT ni. Tapi rasanya dah cukuplah 3 tahun aku menimba ilmu dan pengalaman kat sini. 

Jadi, hari ni hari pertama aku di tempat baru. Hari untuk melapor diri di JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Chan Sow Lin. Ye betul, jem. Kembalilah rutin menempuh kesesakan lalulintas setiap hari. Keluar rumah jam 6.30 pagi untuk mula kerja jam 8.30 pagi. Huhh. Penat dan mengantuk. Apa boleh buat, redah je la..

Sekarang ni aku tengah tunggu untuk melapor diri. Apa yang ditunggu pun entah lerr.. 

Selamat memulakan tugas di tempat baru.


Sunday, March 30, 2014

Rumah Kak Norli

22 Mac 2014.

Semalam aku dan isteri sampai ke rumah Kak Norli dah lewat sangat. Ye la, bertolak dari Bangi pun dah pukul 9.30 malam lepas selesai buat scan kat klinik seksyen 4 tambahan dan makan malam kat Restoran Amir. Biasa la, 'Nasi Goreng Thai Pedas satu. Pedas ye bang. Pedas'. Mesti ulang pedas banyak2 kali dengan harapan brader tu buat pedas punya. Tapi, mesti fail punya. Hampeh tul.

So, semalam memang tak sempat nak berbual-bual. Sampai je, terus masuk bilik, tidur. Hari ni baru la dapat berbual panjang dan membuka cerita. Tak ada orang lain pun lagi kat rumah Kak Norli hari ni. Aku dan Muja je yang sampai awal. Siti (adik aku) pulak awal2 pagi lagi dah keluar pi kerja. 'Woi, hari ni Sabtu la. Apa kes pi kerja hari Sabtu? Bajet hang la lawyer paling sibuk kat Malaysia ni Siti.' 

'Jadi ka hangpa bawak ayah pi umrah tahun ni?' Kak Norli tanya kat Muja. 
Masa tu aku kat dapur nak pi toilet. Dengar sikit2 je la depa duk sembang sambil buat goodies untuk tetamu kenduri esok. 
'Tak tahu la jadi ke tak. Muja pregnant.' Balas isteri mithali ni. Masa tu aku dah keluar toilet menuju ke ruang tamu. Terkedu Kak Norli dengar jawapan Muja. Rasa macam nak menangis dia kata. Seronok sangat. Tak terkata. 'Alhamdulillah. Dah nak masuk 2 bulan Kak.'




Double Comfirmation

21 Mac 2014.

Hari ni aku akan ke Ipoh bersama isteriku 'Mujahadah Yg Terindah'. Kak Norli nak buat kenduri aqiqah anaknya Ahmad Umar Uzaiyr. Kenduri pada hari Ahad 23 Mac 2014. 2 ekor kambing nk tumbang katanya. 

Aku dan isteri masih belum dapat jumpa doktor untuk buat scan kali kedua. Kami masih lagi dalam situasi ragu-ragu dan seperti tidak percaya. Betul ke scan yang doktor buat sebelum ni? Kalau tiba-tiba tak ada apa2, macam mana? Pasti hancur luluh harapan kami dan keluarga. Jadi aku dan isteri bertekad untuk buat scan kali kedua. Nak pi scan kat klinik lain pulak. 2 hari lepas kami dah pusing klinik dekat2 kawasan bangi ni untuk buat scan. Tapi niat tak kesampaian sebab doktor perempuan semuanya tak ada. Bagi aku, selagi boleh ikhtiarkan, aku tak nak la doktor lelaki yang periksa isteri aku. 

So, hari ni sebelum bertolak ke Ipoh, kami dah set appointment dengan satu klinik dekat2 area rumah. Muja kata dia nak jugak buat double comfirmation. Baru la confident nak bagitau kat keluarga dan kawan2. 

Dan seperti yang dirancang, kami dapat buat scan kali kedua dan keputusannya positif. Walaupun doktor tu muka tak boleh nak senyum, tapi kami puas hati la sebab bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Muja memang alergik sikit dengan doktor yang muka ketat ni. Haha.. Aku memang faham sangat. Nasihat untuk para doktor, senyum itu adalah sedekah.

Perjalanan kami ke Ipoh disulami dengan angan2 dan harapan untuk masa hadapan. Tak sabar nak bagitau Kak Norli. Hehe..


6 minggu.

13 Mac 2014.

Dah beberapa hari aku tahan keinginan untuk bercerita kepada ayah tentang berita gembira ni. Nak saja aku jeritkan pada semua khabar gembira ni. Mahu saja aku peluk ayah dan bisikkan "Ayah, Doa ayah telah Allah makbulkan". 

Aku biarkan isteriku bagitau keluarga dia dulu. Biar mak ayah dia tahu dulu. Biar adik-beradik dia semua tahu dulu. Mungkin mereka lebih tertunggu-tunggu berita gembira ni. Itu telahan aku. Mereka lebih berhak untuk mengetahui dahulu. 

Seminggu selepas aku terima berita gembira ni, baru aku bagitau ayah. Ayah orang pertama dalam keluarga aku yang tahu berita ni. Aku mahu ayah tahu lebih dulu daripada adik-beradik aku. Biar ayah jadi orang pertama berkongsi suka bersama aku dan isteri.

Reaksi ayah biasa-biasa saja. Tapi aku tahu jauh di sudut hati, ayah sangat gembira mendengar berita ni. Syukur kepadaMu Ya Allah, Tuhan Maha Mendengar, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Semoga Allah permudahkan segalanya. Amiin.

Wednesday, March 19, 2014

''Kalau tuhan ada..kenapa dia tak amankan saja dunia ni..?''

KISAH YANG SANGAT MENARIK UNTUK DIKONGSIKAN

''Kalau tuhan ada..kenapa dia tak amankan saja dunia ni..?''

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Tuesday, March 18, 2014

Cerita Gembira

Cerita gembira.
Semua orang ada cerita gembira. Aku pun punya banyak cerita gembira. Walaupun jarang sekali aku nak share cerita aku dengan orang.

Cerita gembira terbaru aku. Takdak lagi yang lebih gembira dari cerita ni. Cerita gembira yang dah lama aku tunggu.

2 minggu yang lalu.
Cerita gembira aku. Bila selepas selesai Solat Subuh, bini aku suruh aku buka lampu terang. Dan dia terus tunjukkan aku 2 line merah pada sebatang alat pengukur putih. Oh aku gembira. Sampai terus ambil cuti. Malas pergi kerja. Haha. Sungguh aku gembira. Terima kasih Allah. Terima kasih Isteri.

Monday, March 10, 2014

#PrayForMH370


Doa MH370 - Rintihan Hamba Yang Pasrah

Dari KLIA menghala ke Beijing,
Perjalanan terhenti membuat kami pening..

Di kepekatan malam engkau sembunyi,
Hilang di radar terus dicari,
Pelbagai persoalan kini dikaji...

Langit cerah kini menyuluhmu,
Seluruh dunia kini menanti hadirmu,

Hujan sudah berlinangan di pipi,
Namun dirimu tetap menyepi...

Wahai manusia…

Jangan dipermain nyawa-nyawa insan,
Jangan hilangkan sifat kemanusiaan,

Kehidupan manusia terus diadili,
Adakah berniat untuk menghakimi?...

Jika dihijack kembalikanlah
Wahai hijackers kalian bertaubatlah..

Jika angkara pengganas hentikanlah
Kembalikan saja urusan kepada Allah..

Umat manusia menambah polemik
Si bijak pandai menjadikannya bahan politik,

Si pelawak mencipta lucu,
Si dengki terus mencaci,
Si genius pula mentaksir sendiri...

Kami pohon pada Mu Ya Allah,

Tunjukkanlah kekuasaan Mu Ya Rabbi,
Agar semua ini segera terhenti,
Agar semua bisa mengerti...

Ya Allah Ya Rahman,
MilikMu jua sebaik perancangan,
Kami hanya buat yang terbaik sebagai hamba,
Namun Engkau jua pemilik kuasa...

Andai di langit turunkanlah,
Andai di laut timbulkanlah,
Andai di darat tunjukkanlah,
Dan andai di alam lain sekalipun singkapilah...

Ya Allah Penolong kami…

Jika masih hidup pulangkanlah,
Agar dapat kami syukuri,
Jika telah tiada buktikanlah,
Agar kami pasrah merelakan mereka pergi...

Ya Allah Ya Ghafur…

Jika ada sebab dari dosa kami ampunilah
Jika ada sebab kejahilan kami tunjukilah…

Ya Allah Ya Rahim…

Kami yakini kuasaMu dari kisah Ashabulkahfi
Kami yakin dengan mukjizatMu kepada para Nabi..
Kami masih mengharap KeajaibanMu...
Kami akan terus mengharap kepada KuasaMu…,

Ya..! hanya kepada Mu Ya Allah..
Ya Robbal Alamiin… Tuhan Pengatur sekalian alam.

*** AMIIN***

Sunday, January 5, 2014

Kejamkah aku.

Satu hari. 
Aku singgah di kedai carikomputer.com. 
Bukan nak cari komputer. 
Tapi nak beli modem internet baru. 
Modem TM dah rosak kena kilat. 

Lepas beli modem dgn harga RM70.00. 
Aku terus menuju ke kereta. 
Bila nak undur kereta tetiba ada orang kat belakang. 
Lelaki India. 

Dia lalu tepi kereta sambil cakap sesuatu. 
Aku tak dengar.
Aku buka sikit tingkap kereta. 
Dia cakap semalam dia kena rompak. 
Duit semua habis. 
Nak minta tolong. 

Aku tengok dia dari atas ke bawah. 
Bawah ke atas. 
Pakaian kemas. 
Jam masih di tangan. 
Tiada gaya seperti dirompak pun. 

Lantas terus aku undurkan kereta. 
Sambil melambaikan tangan aku terus beredar. 
Kejamkah aku. 
Aku hanya memikirkan keselamatan diri. 
Silap-silap aku yang kena rompak. 

Sekarang terlalu banyak kes penipuan. 
Kes rompakan, ragut di mana-mana. 
Syukur Malaysia masih aman. 
Wassalam. 


Wednesday, January 1, 2014

Tahun Baru Masihi.

Salam 2014.

Aku tak sambut Tahun Baru Masihi.
Oleh itu aku hanya berada di rumah pada malam Tahun Baru.

Aku tak sambut Tahun Baru Masihi.
Aku demam sejak petang lagi.

Aku tak sambut Tahun Baru Masihi.
Tak perlu bazir duit bakar bunga api.

Aku masih demam pada 1 Januari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...