Pages

Thursday, October 3, 2013

Mana Mak?


Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil

Tuesday, September 3, 2013

Harga minyak dulu dan sekarang


Sejarah Harga minyak di Malaysia sejak Tahun 1990 sehingga sekarang.

Sebelum 90 - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM0.30)
04/06/2008 - RM 2.70 (kenaikan RM0.78)
01/09/2009 - RM 1.80 (Turun RM 0.90)
16/07/2010 - RM 1.85 (kenaikan RM0.05)
04/12/2010 - RM 1.90 (kenaikan RM0.05)
03/09/2013 - RM 2.10 (kenaikan RM 0.20)

Secara kebiasaannya apabila harga minyak naik, semua harga barang akan turut naik. Dengan alasan kos pengangkutan telah meningkat. Jadi, kita tunggu je la kenaikan harga barang lain pulak.

Friday, August 30, 2013

MERDEKA

Salam,

Esok, 31 Ogos 2013.
Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 56.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Semua orang nak jerit MERDEKA.
Semua orang nak pasang bendera.

Selamat Hari 'MERDEKA' mak.

31 Ogos 2011.
Al-Fatihah.

Wednesday, August 21, 2013

Mesir Bumi Anbiya'


1: Seorang lelaki yang berketurunan petani dari delta sungai Nil, membesar dalam persekitaran agama, dan ilmu akademik duniawi, membawa lelaki ini ke tahap pencapaian akademik dan kebendaan yang cukup tinggi. Ber dekad menjadi pensyarah kejuruteraan kimia di Universiti dalam dan luar negara, Menjadi staff muslim di NASA, malah menerima gelaran Profesor, itu semua tidak membawa lelaki ini jauh dari ALLAH. beliau, Mohamed Mursi merupakan seorang haffiz al Quran, malah isteri dan 5 orang anaknya juga turut dididik menjadi hafiz al Quran.

2: Jun 2012, Mursi dilantik menjadi presiden Mesir. Beliau yang memilih Ikhwanul Muslimin sebagai landasan juang hidupnya, tidak pernah mencalonkan dirinya, sebaliknya dipilih oleh syura. Presiden Mursi yang meringkuk didalam Penjara sewaktu era Hosni, kini diangkat menjadi presiden sebuah negara Mesir yang disebut berkali-kali didalam Al Quran.

3: Presiden Mesir menyahut perlantikan ini dengan ucapan syukur dan mengimami solat hajat dan sunat syukur. Lantas berpidato umpama Khalifah Abu Bakar dan Umar. Tidak menunggu lama, beliau telah berusaha sehabis daya untuk memulihkan hubungan umara’ dan para ulama mesir yang telah lama terpisah sejak era 32 tahun Hosni. Lelaki berani ini, menolak surat ucapan tahniah dari Israel atas kemenangannya. Beliau membuktikan, beliau bukan mudah diperalat dan diboneka kan seperti patung-patung negara arab yang lain. Morsi telah membuka semula pintu sepadan Rafah antara Mesir dan Gaza, bagi memudahkan urusan penghantaran bantuan. Ini merupakan jasa terbesar beliau dan kemerdekaan terbesar rakyat Gaza dan kesenangan hakiki kepada para sukarelawan Gaza.

4: Morsi tidak cukup dengan itu, mengaum deras di persidangan NAM di Tehran dengan memulakan aluan ucapannya dengan memuji-muji saidina Abu Bakar dan Umar, sedangkan beliau sedang berada di negara Syiah yang sering mencerca para sahabat nabi ini. Didalam ucapannya itu, Presiden Morsi telah mengutuk sekeras kerasnya tindakan rejim Basyar keatas rakyat Syria hingga memaksa delegasi syria yang turut berada di dewan itu melangkah keluar dewan dengan rasa tidak puas hati.

5: Didalam negara pula, presiden Mursi berkeras untuk tetap tinggal di rumah lamannya berbanding tinggal di istana mewah presiden. Beliau memutuskan agar pegawai-pegawai tentera yang berpanas untuk mengawalnya, agar tidak perlu berkawal dan boleh mencari tempat berteduh. Ucapannya yang paling popular, “tidak mengapa, ALLAH ada untuk menjaga saya..” setelah sekian lama Mesir berada dalam cengkaman kerajaan yang pro israel, alhamdulillah kini mesir merdeka dan bakal mendirikan kerajaan khilafah yang pemimpinnya seorang protaz (profesional dan ustaz).

6: Namun! 3 julai 2013 merubah segala-galanya. Golongan kecil manusia bodoh di Mesir berusaha keras untuk menjatuhkannya. Tidak cukup dengan itu, pegawai tertinggi tentera juga berpaling tadah. Ini membuatkan kumpulan kecil ini menjadi garang dan besar hingga menyaksikan penggulingan kerajaan Mursi dilakukan dengan cara yang sangat biadap!

7: Dunia islam yang terkenal dengan bacul dan pengecut tahap langit ke tujuh, seperti biasa, mendiamkan diri. Rumah presiden ini dikepung puak khianat ini. Ancaman bertalu talu menghala kearahnya. Dan, profesor dr.Mohamed Mursi Al Hafiz ini akhirnya karier politiknya ditamatkan dengan cara yang cukup kurang ajar. Bagi Morsi, beliau tidak rugi apa-apa. 30 juzuk masih kekal didalam dadanya, profesor dan pakar kejutueraan kimia masih segar di kepalanya. siapa yang rugi dalam hal ini??

8: Kita! Termasuk Malaysia. Isu mursi adalah isu dunia islam sejagat. Bukan sekadar isu dalaman mesir semata-mata. Saya sangat sedih bila melihat negara-negara islam dunia menjadi tuli dan bisu dengan pengkhianatan ini, sebaliknya hanya Turki yang menyuarakan sokongan penuh kepada Presiden Mursi. Adakah hanya turki sahaja negara islam didalam dunia ini??

9: Selepas ini, penempatan tenteran israel di tanah arab akan mara semula, pintu sempadan rafah yang merupakan talian hayat penduduk Gaza bakal ditutup kembali, ulama mesir akan dipinggir dan disingkir semula,rakyat Mesir akan kembali berada dalam wilayah pemerintahan diktator kekeluargaan yang tidak berperi kemanusiaan dan menjadi balaci barua yahudi.

10: Usah salahkan yahudi dalam hal ini, kerana sebilangan kecil manusia muslim di mesir yang bodoh dan bertindak diluar timbang rasa Iman. Mengapa 32 tahun kezaliman Hosni anda diamkan, 1 tahun perubahan Morsi anda bertindak keterlaluan? Padamlah cahaya dari bumi mesir ini, hilang satu-satunya suara lantang dari negara islam dunia.

11: Sejarah hanya berulang semula, Umar Abd Aziz hanya sempat memerintah dua tahun, lalu dibunuh oleh kerabat sendiri kerana khianat. Sedangkan baginda memerintah dengan cukup adil. Begitu juga Saidina Uthman, beliau dibunuh ketika usianya 86 tahun, rumahnya dikepung selama 40 hari oleh golongan pemuda islam yang bodoh, lalu beliau dikerat tangannya , dan dipancung tanpa belas kasihan oleh pedang milik islam sendiri. sejarah sekadar berulang. Disebalik kebodohan minoriti muslim ini, kita pemerhati luar tidak sudah-sudah menghentam Yahudi yang berada disebalik konspirasi ini.

12: CUKUP!! Berhenti menunding jari kepada Yahudi, pandanglah kepada diri sendiri! ahh.. mudah benar kita ini, berlaku apa-apa kekalutan dan kecelakaan, kita berasalan, ‘ahh.. ini agenda Yahudi.’ Sedangkan yang berteriak membakar gambar Morsi, memancung saidina Uthman, dan membunuh Khalifah Umar Abd Aziz adalah mereka yang sama mengucap dua kalimah syahadah! Kalau benar pun Yahudi terlibat, apakah bodoh benar kita ini untuk mengikut mereka??

13: Ya.. peristiwa pembunuhan saidina Uthman menyaksikan puak Yahudi yang mengapi-apikan kemarahan. Tetapi siapa yang mara membawa pedang meragas istana dan memancung saidina Uthman?? Bukankah islam itu sendiri? Yahudi hanya bertepuk tangan. Silap-silap, Yahudi berkata didalam hati, “alamak, gua acah je.. sampai mati pemimpin mereka dibuatnya..”

14: Buat kita pemerhati luar, bukalah tempurung besimu, lihatlah sekitar mu kini, maka nanti aku akan bertanya, puas hati sekarang? Disaat nanti pintu sepadan rafah kembali dikunci, negara mesir kembali ditindas, aku ingin bertanya, ‘puas hati sekarang?” dan ketika islam dimain-mainkan, dihina, negara islam dizalimi, dan ketika itu OIC berlari bersembunyi dalam dasar laut, ketika itu semua mencari mana pemimpin negara islam yang berani bangun melawan? Pandang kiri, saudi menyorok dibawah meja, pandang kanan, Malaysia berlari bersembunyi dalam bilik paip bomba, dan ketika itu, aku ingin bertanya, “Puas hati sekarang?”

15: Musuh islam sedang berpesta, dan si bodoh-bodoh di mesir itu pun sedang bergembira, entah apa yang mereka suka. Ingat, jika Morsi hidup, ia tetap pakar kejuruteraan kimia, 30 juzuk tetap tak lekang dalam kepalanya, dan jika beliau mati pun, syurga sedang menantinya. Sekarang kita dan musuh islam sama-sama bersuka. Tunggulah.. tak lama.. nanti dunia islam akan kembali menderita. Ketika itu, aku ingin bertanya, mungkin ini yang kalian mahukan.


Kredit: Update Mengenai Mesir Dan Morsi Disini.

Monday, August 19, 2013

Susah sangat ke nak bawa balik pelajar dari Mesir?

PM mahu pelajar Malaysia selamat

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahap keselamatan para pelajar Malaysia di Mesir yang sedang bergolak kini menjadi keutamaan kerajaan.
Perdana Menteri dalam tweetnya memberitahu, kerajaan akan mengambil segala langkah perlu untuk membawa para pelajar terbabit pulang ke tanah air dengan selamat.
Najib semalam dilapor telah mengarahkan supaya persiapan dibuat bagi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir berikutan keadaan di negara itu yang kini di ambang perang saudara.

Thursday, August 1, 2013

Ibubapa zaman moden


Ibubapa zaman moden.
Terlalu manjakan anak.
Anak aku adalah selalu betul.
Semuanya orang lain yang salah.

Ibubapa zaman moden.
Anak jahat, salah persekitaran.
Anak malas, salah rakan taulan.
Anak kurang bijak, salah guru.

Ibubapa zaman moden.
Taknak anak hidup susah.
Seperti mereka masa dulu.
Tapi lupa, susah itu adalah guru.

Ibubapa zaman moden.
Sekolah itu adalah pusat jagaan.
Guru umpama pengasuh upahan.
Tempat melepaskan segala beban.

Ibubapa zaman moden.
Anak malas belajar, guru yang salah.
Anak gagal pelajaran, guru yang salah.
Anak kena rotan, pasti guru kena saman.

Kasihan guru.


Wednesday, July 31, 2013

PESAN/PETUA IMAM SYAFIE

PESAN/PETUA IMAM SYAFIE utk LELAKI

Empat perkara menguatkan badan
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. kerap mandi
4. Berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. Duduk mengadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih

Empat perkara merosakan mata
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan para ulama

CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA’ & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

Doa, zikir, itulah kekuatan seorang muslim

Thursday, July 18, 2013

Ramadhan yang hilang

Assalamualaikum,
Salam Ramadhan.

Ramadhan ini bulan yang berkat.
Bulan penuh dengan pahala.
Bulan kemuliaan umat Islam.
Bulan yang dinantikan setiap tahun.

Tahun ini adalah Ramadhan tahun ke2 tanpa bonda.
Masih ku ingati 2 tahun lalu.
Bagaimana Ramadhanku hanya di sisi katil bonda.
Berulang-alik ke hospital menangisi penderitaan bonda.
Ramadhanku tanpa bonda.

Dengan ketiadaan bonda.
Ramadhanku sayu.
Ramadhanku sedih.
Ramadhanku hanya kenangan.
Ramadhanku hanya aku tanpa bonda.

Semoga bonda dirahmati.
Semoga bonda tenang bersemadi.
Semoga bonda sentiasa di hati.
Di sisi Tuhan Rabbul Izzati.

Salam Ramadhan Bonda tercinta.

Thursday, May 23, 2013

Lagi 2 hari...

Buku merah jangan lupa bawa.
Moga-moga belum tamat tempoh.

Selamat bercuti.

Thursday, April 4, 2013

Mari Mengundi

Assalamualaikum,

Mari mengundi. Semalam, 3 April 2013 DS Najib telah mengumumkan pembubaran parlimen. Memang semua orang dah lama tertunggu-tunggu akan pembubaran parlimen ni. Ini menandakan Hari Mengundi dah semakin hampir. Dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen, Pilihan Raya ke 13 perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru. Undi adalah rahsia.

Aku dah pernah turun mengundi sekali pada tahun 2008 PRU 12. Seperti biasa, semua orang balik mengundi di kampung halaman.Ada yang duduk jauh2 macam aku ni, bila balik mengundi je dapat la duit tambang. Aku amik je la bila orang dah nak bagi tu. Kalau tak bagi pun aku tetap akan mengundi sebab mengundi adalah kewajipan dan tanggungjawab setiap rakyat. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab. Masa nak pi mengundi tu kecoh la dengan kempen sana sini. Memang meriah.

Aku dapat tugas penting jugak masa PRU12 2008. Sebagai orang yang tolong angkut orang mengundi. Sepatutnya ayah aku yang buat kerja ni, tapi dia minta aku yang jalankan tugas ni. Jadi, tugas aku adalah bawa van ayah aku, pusing2 kampung untuk angkut sesiapa sahaja yang nak pergi mengundi. Aku ajak juga sorang kawan aku. Sepanjang proses mengundi tu aku pun menjalankan tugas membawa orang ke tempat mengundi. Tanpa mengira sesiapa pun, semua aku angkut.

Petang lepas selesai je kerja, aku pun balik rumah. Ayah aku kata, ada orang cakap aku angkut orang parti pembangkang. Aku kata apa salahnya. Lagipun mana la aku tahu orang tu parti apa. Tugas aku adalah bawa orang pergi tempat mengundi. Tak kira la orang tu parti apa pun. Nak tolong orang pun kena tahu dia parti apa ke? Susah juga kalau semua benda nak kena ikut parti. Apa yang penting aku telah menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Hak mengundi adalah hak semua rakyat.

Sekian.

Thursday, March 21, 2013

Gempak SPM 2012

Pepatah Melayu ada menyatakan, Usaha Tangga Kejayaan. Siapa rajin berusaha, dia akan berjaya. Tapi, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Apa yang penting adalah usaha yang telah kita lakukan.

Huh. Intro yang penuh dengan kata-kata semangat dan positif. Tahniah diucapkan kepada semua yang baru dapat keputusan SPM. Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang, tahniah juga kepada yang berjaya dengan kurang cemerlang. Dan tahniah juga kepada yang tak berapa berjaya tu. Sebab anda telah berjaya menduduki peperiksaan SPM. Ada juga orang yang tak dapat ambil SPM. Dengan kata lain anda lebih berjaya daripada mereka.

Dalam keluarga aku ada 3 orang yang ambil SPM 2012. Semuanya berjaya. Tahniah kepada PokDik Hafizul Najmi, KakLong Shafiqah Shaharom dan Amirul Asyraf. Sesungguhnya kalian telah membanggakan keluarga dengan keputusan SPM yang baik.

Kepada semua, teruskan usaha yang telah dilakukan. Kepada yang berjaya, jangan lupa diri. Ingat Allah, ingat ibubapa dan keluarga. Jangan terlalu bangga diri. Teruskan kecemerlangan anda. Kepada yang kurang cemerlang, tingkatkan usaha. Jangan berputus asa. Bersyukur atas rahmat yang diberi. Jangan terlalu bersedih mengenang masa lampau hingga kita abaikan masa hadapan. Kehidupan baru bermula.

Kadang-kadang Allah turunkan hujan kerana Allah nak berikan kita pelangi di masa depan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Friday, February 15, 2013

Solat Iqbal haqeem

Salam Jumaat,

Tadi Solat Jumaat di Surau Al-Kauthsar bersama anak saudara yang berumur 7 tahun. Iqbal Haqeem namanya. Masa aku sampai di surau tu, baru je lepas tok bilal mengalunkan azan yang pertama. Anak saudara aku si Iqbal ni baru je nak belajar-belajar solat. Biasalah bagi budak yang baru berumur 7 tahun.

Sebelum aku mula solat sunat, aku suruh Iqbal solat sunat sama dengan aku. 2 rakaat aku bagitau kat dia. Dia pun menganggukkan kepala tanda faham. Aku pun mula solat sunat. Setelah aku selesai solat sunat 2 rakaat, aku tengok Iqbal masih lagi belum selesai solat. Beberapa kali dia mengangkat takbiratul ihram. Sedang dia membaca Al-Fatihah, dia berhentikan solat dan mengangkat takbiratul ihram semula. Beberapa kali, dia masih tidak dapat menghabiskan bacaannya dan mengangkat takbir semula.

Aku hanya memerhatikan tingkah laku anak kecil ini. Sehinggalah Khutbah mula dibacakan, aku menarik tangan Iqbal minta dia duduk mendengar khutbah. Dengan rasa tidak puas hati dia bersuara,

"Abang belum habis solat lagi."

Aku hanya mendiamkan diri mendengar khutbah.

"Abang belum habis solat lagi." Diulang lagi dengan riak muka sedih dan macam dah nak menangis.

Aku masih mendiamkan diri. Waktu khutbah tidak boleh berkata-kata. Fikirku.

"Kat sini bising. Abang tak suka bising. Abang tak boleh solat bila bising. Sebab tu la abang nak solat kat rumah je." Kata Iqbal dengan muka sedihnya. Aku hanya memeluknya dan teruskan mendengar khutbah. Kesian pula kat budak ni.

Budak sekecil ini pun rasa sedih bila dia tak dapat menghabiskan solatnya. Ini kan pula kita yang telahpun diwajibkan menunaikan solat. Adakah kita rasa sedih bila kita tidak menunaikan solat. Insaf terasa.

Wassalam.

Friday, February 8, 2013

Bacaan Talkin

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam,Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.
Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan
binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.
Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.
Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.
Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini
adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan
berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.
Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur. Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati
kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal
kebajikan kamu.
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.
Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati – “Kullu nafsin za
iqatul maut”

Firman Allah swt, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu
benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-A’sr .
Dari Abdullah bin ‘Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat…”
Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para
makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur “masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN” dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.
Bertanya orang kepada Rasulullah saw : “Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?”
Maka jawabnya Rasulullah saw “Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU’.”
Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil.
Bukanlah debu “itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN” mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat
para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku. Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal
diwaktu mati
1. Para Nabi
2 Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8 . Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika
mereka itu dari kalangan orang yang beriman.
Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra
sabda Rasulullah saw:
Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di
dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat
Ridhwan:
” Wahai Ridhwan , sesungguhnya Aku telah mengeluarkan
hamba-hamba Ku berpuasa ( ahli puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga.
“Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang
yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaimana yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud
“Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu.”

Thursday, February 7, 2013

Nak bisnes jugak.

Salam,

Dalam kesibukan kerja, hari ni aku banyak memikirkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan. Bisnes sampingan kata orang.

Puas aku fikir, nak buat bisnes apa? Nak jual apa? Macam mana nak mula?

Sebenarnya aku jeles dengan orang-orang yang pandai buat duit sampingan ni. Memang masyuk la. Jual baju, jual barang mainan, jual tupperware, jual keronsang. Jual ape lagi? Jual kek pun ada. Sedikit sebanyak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Di samping mendapatkan pendapatan sampingan, boleh juga meningkatkan motivasi diri untuk terus maju. Dan aku masih terus berfikir. Nak jual apa ni? huh..

Wednesday, February 6, 2013

Februari bulan istimewa?

Februari datang lagi.

Apa yang ada pada Februari? Tarikh-tarikh istimewa?
Mungkin ramai pasangan kekasih menantikan kedatangan 14 Februari yang dinobatkan sebagai Hari Kekasih. Tapi bagi seorang Muslim, tidak perlu menyambut hari tersebut yang jelas bertentangan dengan agama. Selalunya yang beria-ia ingin menyambut Hari Kekasih ni adalah golongan wanita. Mereka mengharapkan pasangan mereka akan meluahkan isi hati dan mungkin melamar mereka pada hari tersebut. Orang lelaki biasa-biasa je. Apa barang Hari Kekasih ni. Malas nak ambil tahu.

Bagi peminat-peminat bola sepak pula pasti menantikan Februari 2013 ni dengan penuh debaran. Banyak perlawanan-perlawanan penting akan berlangsung pada bulan ini. Makan Bola, Tidur Bola, semuanya Bola. Tak perlu nak kecoh-kecoh sangat la. Manchester United pasti Juara. Glory-glory ManUnited.

Okey, bagi aku Februari ni lain sikit. Bulan istimewa. Kenapa? Bulan ni adalah bulan kelahiran isteri tercinta. Pastinya tarikh 13 Februari ditunggu-tunggu dengan penuh harapan. Apa yang perlu aku lakukan? Kejutan? Kejutan apa? Macam mana? Bila? Boleh naik pening jugak nak fikir. Perlu ke aku buat kejutan? Atau hanya sekadar sambutan sederhana. Hanya kami berdua. Takkan la aku nak buat Besday Party pula. Haha.
 
Apa-apa pun, aku harap Februari ni akan memberikan kebahagiaan kepada si dia dan juga aku. Bila dia bahagia, pasti hidupku ceria.

Selamat Hari Lahir buat Isteri Tercinta


Tuesday, February 5, 2013

HINDARI NAFSU AMARAH

NAFSU AMARAH

Nafsu Amarah itu adalah satu kelakuan hati yang menerbitkan suatu perangai yang mengandungi sifat-sifat Mazmumah yang terlampau banyak.

Manusia-manusia yang memiliki nafsu Amarah biasanya memiliki sifat-sifat Mazmumah iaitu sifat yang dikeji oleh Allah swt. Iaitu sifat-sifat seperti dengki, khianat, iri hati, pemarah, berang, emotional mengikut hati dan lain-lain lagi. Biasanya mereka yang dikuasai nafsu Amarah bertindak mengikut fikiran tanpa menggunakan akal. Kadang kadang mereka merasa diri merekalah berkuasa dan semuanya adalah hak mereka. Mereka boleh bersultan di mata dan beraja di hati. Seperti Firman Allah :

“Sesungguhnya Nafsu Amarah itu sentiasa menyuruh berbuat jahat”(Surah Yusof – ayat 53)

dan FirmanNya lagi :

“Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuan dan dia disesatkan Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu di tutup Allah pendengarannya (telinga batin), mata basirnya dan tetap tertutup.”(Surah Al-Jaashiah – ayat 23)

Dan sesungguhnya orang-orang yang dikongkongi oleh nafsu Amarah biasanya tak tahan di uji dan jika di uji dengan satu-satu bentuk ujian atau satu cabaran dan dugaan mereka terus melenting bertindak mengikut fikiran dibawah hasutan syaitan dan kuncu-kuncunya.
Pada peringkat nafsu ini, manusia tetap dikuasai oleh iblis, jiwa mereka sentiasa tegang, fikiran sentiasa kusut, pegangan hanyut dan hati jarang-jarang sekali mengingati Allah SWT.

Mereka di peringkat nafsu ini akan mengingati Tuhan ketika susah dan melupaiNya ketika senang seperti firman Allah di dalam Al-Quran :

“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri, tetapi bila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa.”(Surah Fusilat – ayat 51)

Mereka juga bertindak di dalam sesuatu hal, langsung tidak berpandu kepada syariat Allah swt. tetapi mereka lebih berpandukan fikiran, angan-angan dan tidak pula penah terbit pada hati mereka satu perasaan salah terhadap sesuatu kesalahan yang mereka sendiri lakukan.

Sesungguhnya nafsu Amarah ini adalah nafsu binatang. Malahan ianya lebih hina daripada binatang bagi mereka yang menguasai nafsu Amarah.
Mereka mempunyai hati yang tidak memerhati, mempunyai mata yang tidak melihat, mempunyai pendengaran yang tidak mendengar, malahan boleh disifatkan mereka ini sebagai seekor binatang yang berupa manusia.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran :

“Akan di campakkan ke dalam neraka Jahanam daripada golongan-golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memerhati, yang mempunyai mata tidak melihat, yang mempunyai pendengaran tidak mendengar, mereka itu adalah seperti binatang, malahan lebih hina daripadanya dan mereka lah termasuk daripada orang-orang yang lalai”(Surah Al-A’araf – ayat 179)

Perlu juga diingatkan bahawa bagi orang-orang yang dikuasai oleh nafsu Amarah biasanya suka bersifat bermuka-muka dengan sesuatu yang diperolehinya dan suka memperbodohkan kelemahan orang lain walaupun rakan karibnya sendiri. Mereka mencela orang lain dan membayangkan dialah orang yang paling baik dan sempurna. Mereka bertindak menjaja keburukkan orang kepada orang lain dengan harapan keburukkan orang itu dapat memberi keuntungan kepada diri mereka.
Mereka ini tidak ubah seperti ayam balor yang mempunyai bulu yang elok tetapi tahi melekat di badannya.

Justeru daripada itu, adalah menjadi kewajipan diri manusia tersebut haruslah menyucikan sifat-sifat nafsu Amarah tadi supaya terbitnya sifat-sifat murni dan hilangnya sifat-sifat mazmumah dalam diri manusia itu seperti firman Allah :-

“Demi nafsu (manusia) dan kesempurnaan (kejadian) maka Allah mengilhamkan kepada nafsu itu jalan kefaskan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan nafsunya”(Surah Asy Syam – ayat 7-10)

Oleh yang demikian maka seseorang itu hendaklah berguru dan berzikir menyucikan diri nya mengikut petua-petua yang diberi oleh guru mereka di dalam usahanya membersihkan dirinya dengan Allah swt.
Maka beramal lah mereka dengan petua-petua yang diberi oleh gurunya sehinggalah terbitnya peningkatan ke satu martabat nafsu yang seterusnya yang bernama nafsu Lawamah.

Zikir orang-orang Amarah biasanya di lidah tanpa menyerap di dalam hatinya. Zikir nya kosong tidak bertenaga dan bermaya dan sesungguhnya zikir adalah merupakan klorox bagi menyucikan kekotoran hati yang tidak boleh dicucikan oleh jenis-jenis sabun.

Jiwa mereka pada masa ini kosong hubungan dirinya dengan Empunya Diri adalah terputus langsung. Malahan diri rahsianya dihijab tebal daripada Allah swt. Diri batinnya kurus melidi, sakit tersiksa sedangkan badan zahirnya gemuk dan sihatnya seperti ubi kayu di tanah bukit, sedang tubuh batinnya di anai-anaikan oleh nafsu Amarah.

Penyakit Nafsu Amarah ini jika dibiarkan menular pada jiwa manusia ianya menyebabkan bertimbunnya pada hakikat selaput-selaput tebal, gelap dan kemas untuk mengingati Tuhannya. Dan hidupnya terus hanyut tidak berpedoman sebagai kabus di waktu pagi ataupun bagai awan di langit. Sesungguhnya bagi mereka yang dikuasai nafsu Amarah merekalah termasuk di dalam golongan manusia yang rugi di sisi Allah SWT.

Trauma Tahun Baru Cina

Salam,

Selamat Tahun baru Cina. Kepada mereka yang berbangsa Cina.
Memikirkan yang Tahun Baru Cina ni dah dekat, membuatkan aku rasa serik. Serik untuk tersekat dalam kesesakan lalulintas. Serik nak kena memandu sampai 15 jam. Huh.. Sakit kepala bila difikir-fikirkan.

Kenapa, Orang Cina punya Raya, Orang Melayu sangkut tengah jalan?
Kenapa, Orang Cina suka-suka, Orang Melayu derita?
Aku tidak menyalahkan Orang Cina nak sambut raya.
Kita yang kena fikirkan jawapannya.

Aduh! Letih dah ni. Baru fikir dah rasa letih.
Pengalaman tersekat dalam kesesakan jalan raya 2 tahun yang lepas memang menghantui. Masa tu nak balik KL dari Kelantan. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa 6-7jam je. Tapi dah jadi sampai 15 jam. Siapa boleh tahan duduk dalam kereta sampai 15jam? Kalau tidur sekalipun, mesti dah 15 kali mimpi.

Pernah sekali tu, pengalaman aku bawa kereta balik kampung. Jem punya pasal, aku jadi mengantuk giler. Apalagi, berhenti la kat Petronas, terus tidur. Siap mimpi lagi tidur dalam kereta. Yang bestnya aku mimpi aku bawa kereta dalam keadaan mengantuk sampai tertidur. So, maknanya aku mimpi aku mengantuk dan tidur.

Hari Jumaat ni In Shaa Allah aku dan isteri akan pulang ke Kelantan. Harap-harap tidak terlibat dalam apa jua perkara-perkara yang tidak diingini termasuklah kesesakan lalulintas.

Gong Xi Fa Cai.

Thursday, January 31, 2013

Pelajar

Pelajar : Ustazah,doakan saya ustazah,saya nak dapat 5A dalam UPSR ni. Serius.

Ustazah:Ya,insyaAllah saya doakan.

Pelajar : Ustazah kata nak doakan,tapi ustazah tak mintak nama saya pun.

Ustazah :Ya,apa nama awak?

Pelajar : Adam ustazah.

Ustazah : Kenapa awak macam beria-ia sangat ni?

Pelajar : Saya kena dapatkan 5A jugak,sebab saya nak tuntut hadiah dari mak
             saya. Mak saya kata,kalau saya dapat 5A,saya boleh mintak apa saja. Mak
             saya tak tahu lagi apa saya nak.

Ustazah : Boleh ustazah tahu apa permintaan Adam?

Pelajar : Saya nak mak saya tutup aurat ustazah.

Ustazah terkejut dan terharu,lantas beliau mengangkat dua tangannya dan terus berdoa untuk si pelajar tadi. Allahu Rabbi..♥♥

Wednesday, January 30, 2013

Kita Ibarat Pinggan

Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada Kita.. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Lalu Kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..

Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh.. Pinggan tersebut akan Kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya..

Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dlm tong sampah yg hina..

Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik Dan tempat yg selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..

Namun jika Kita kembali ke hadratNya dlm keadaan kotor dgn dosa, Allah akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan Kita ke dlm syurga..

Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dlm keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dpt dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak2 utk menghumbankan Kita ke dlm neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah; tiada nilai lagi..

Friday, January 25, 2013

Hujan.

Ku lihat ke luar jendela.
Kelam. Kusam.
Kabus menyelubungi mega.
Rintik hujan bercucuran.
Mungkinkah bumi sedang ditangisi?

Ku lihat ke luar jendela.
Sejauh mata memandang.
Hanya ku lihat. Tangisan.
Tiada bahagia untuk gembira.
Hanya hujan membawa Duka.

Ku lihat lagi ke luar jendela.
Kuasa Tuhan turunkan bala.
Kuasa Tuhan turunkan Rahmat.
Tiada siapa mampu menduga.
Maha Suci Tuhan Pencipta Alam.

Ku lihat lagi ke luar jendela.
Bumi ini banyak menanggung dosa.
Yang disumbang oleh manusia.
Hanya kita menunggu masa.
Tuhan pasti kan beri balasannya.



Wednesday, January 23, 2013

Kawan Lama

As-Salam,

Baru sebentar tadi aku dapat notification dari seorang yang bernama HAFIZUDIN.
Kawan lama. Aku berfikir sejenak.

Hafizudin.Hafizudin.Hafizudin.

Aku hilang arah. Siapa Hafizudin?
Maaf kawan. Aku kehilangan memori masa lalu.

Mungkinkah Ustaz Hafizudin, kawan lama masa aku menuntut di KYPM Kota Bharu?
Orang Kedah kalau tak silap. Lama tidak dengar khabar berita darinya.
Dahulu selalu pulang dari kelas malam bersama.
Menyanyikan lagu nasyid bersama.
Teman yang kupanggil 'Ustad'.

 Kawan, Sahabat dan Teman.
Silaturrahim takkan terputus dek masa ataupun jarak.

(email: syahid_06@yahoo.com)




Tuesday, January 15, 2013

2 + 2 = 5


Nothing to say. Listen. Listen. Listen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...