Pages

Friday, January 6, 2012

Melayu dan Islam

1. Sepatutnya orang Melayu tidak bermasaalah berkenaan agama mereka. Semua orang Melayu beragama Islam. Sejak sebelum merdeka lagi, dimasa penjajahan oleh British pun mereka semua beragama Islam. Jika mereka tidak beragama Islam maka mereka tidak diiktiraf sebagai orang Melayu. Apabila Malaysia merdeka, Perlembagaan negara menentukan bahawa walaupun mereka berbahasa Melayu dan beradat-istiadat Melayu, tetapi jika tidak beragama Islam, mereka bukan Melayu.



2. Perjanjian dengan British oleh Raja-Raja Melayu mengandungi larangan terhadap pendakwah Kristian mengkristiankan orang Melayu. Justeru itu tidak ada orang Melayu yang beragama Kristian dan hilang identiti sebagai Melayu.

3. Mungkin dari segi pengetahuan dan amalan, ramai orang Melayu tidak mencerminkan peribadi Islam sepenuhnya tetapi mereka tetap mempertahankan keislaman mereka. Bahkan mereka akan marah jika mana-mana pihak berkata mereka tidak Islam.



4. Orang Melayu juga tidak menghadapi masaalah kelainan mazhab. Mereka semua adalah dari kumpulan Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie. Dengan itu tidak ada perbezaan fahaman agama yang boleh memecahbelahkan mereka. Perpecahan dan permusuhan seperti yang terdapat di antara Sunni dan Syiah tidak terdapat dikalangan orang Melayu. Sudah tentu tidak berlaku bunuh-membunuh kerana kelainan mazhab antara mereka seperti yang berlaku di Iraq, Pakistan dan beberapa negara Arab.



5. Sesungguhnya orang Melayu amatlah bahagia kerana menikmati Islam yang tidak berbeza-beza. Apabila seruan dibuat supaya orang Melayu bersatu untuk menentang Malayan Union, dengan mudahnya mereka menyahut seruan, mereka bersatu tanpa mengambilkira dari negeri mana mereka datang.



6. Tetapi sekarang orang Melayu Islam di Malaysia sudah berpecah dan bermusuh-musuhan dengan teruknya sesama mereka. Agama yang satu, mazhab yang sama tidak terdaya menangkis serangan oleh ahli politik yang menciptakan syarat-syarat baru bagi agama Islam demi politik duniawi yang dikejar oleh mereka ini.



7. Oleh kerana syarat dan tafsiran-tafsiran ini tidak terdapat dalam Al-Quran atau hadith-hadith yang sahih atau dalam mana-mana kitab tulisan ulama-ulama silam yang muktabar, maka majoriti daripada orang Melayu Islam menolak syarat-syarat ciptaan mereka yang berkepentingan ini. Dengan itu berpecahlah orang Melayu Islam kepada dua kumpulan yang saling bermusuh antara satu sama lain.



8. Hasil dari perpecahan ini maka berlakulah sembahyang dua imam, larangan perkahwinan antara ahli dan penyokong parti yang tidak terima syarat-syarat ciptaan pemimpin parti dan perkuburan berasingan antara yang tidak terima dengan yang terima.



9. Yang lebih buruk lagi ialah ketaksuban pengikut kepada pemimpin ini sudah sampai kepada tahap menghalalkan apa sahaja yang dilakukan atau diperkatakan oleh pimpimpin. Apabila pemimpin berkata orang Islam boleh mencarut, kerana Tuhan juga kononnya mencarut, tidak ada sesiapa daripada anak buah pemimpin yang membantah, atau menegur pemimpin berkenaan. Demikianlah apabila pengikut yang taksub dengan pemimpin mendakwa bahawa pemimpin mereka adalah sama dengan nabi, tidak ada pembetulan atau bantahan daripada pemimpin berkenaan dan penyokong-penyokongnya.



10. Agama Islam di Malaysia sudah banyak tercemar dan pegangan kepada ajarannya sudah menjadi luntur kerana Islam diperalatkan untuk kepentingan politik duniawi. Orang Melayu yang bahagia kerana bangsa mereka dikait secara langsung dengan agama Islam, sudah hilang nikmat yang datang dari ikatan ini. Hasilnya ialah perpecahan, kelemahan dan kehinaan. Hasilnya ialah mereka menjadi pengemis di negara sendiri, pengemis yang meminta-minta sokongan dari orang lain. Mereka yang mengemis tetap akan menjadi orang suruhan kepada yang membantu mereka.

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Tuesday, January 3, 2012

2012

Tahun 2012.

Semoga tahun ini adalah lebih baik dari tahun sebelumnya. Begitu juga aku, semoga menjadi insan yang lebih baik. Di dunia dan akhirat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...