Pages

Tuesday, August 30, 2011

Doa untuk emak

Jam sudah hampir 4.00 pagi. Aku masih di sisi emak. Membacakan surah yasiin untuk emak. Mengajar emak menyebut nama Allah, Tuhan maha pengampun. Sebak di hati. Tidak dapat dibendung lagi. Kuulang bacaan ayat suci AlQuran ditelinga emak. Air mata emak mengalir perlahan. Tanpa suara. Tanpa bicara. Yang ada cuma lirikan redup mata emak yg terbuka sedikit.

Aku masih di sisi emak. Di pagi raya. Hampir terlupa kehadiran syawal. Di saat orang lain bermimpi bersuka di hari raya. Aku masih di sini. Berdoa kepada Tuhan maha kuasa. Menyebut kalimah 'kun fa ya kun'. Diulang-ulang. Moga Allah kurangkan kesakitan emak.

Monday, August 29, 2011

Malam Raya: Emak

Malam raya. Emak masih di ICU. Begitu juga anak2 mak. Ayah setia di samping mak.

Kata Doktor. Mak semakin lemah. Tenat.

Doa pada Allah. Semoga ringan derita emak. Amiin. Allah maha kuasa.

Friday, August 26, 2011

Menjelang Raya

Tinggal lagi 4 hari sebelum menjelang raya. Masih tiada mood raya.

Mak sedang berada di Bilik Pembedahan.

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan Emak 3

23 Ogos 2011 bersamaan 23 Ramadhan 1432H.

Jam 6.50 petang, mak kembali ke Wad ICU. Hanya 3 hari mak berada di wad biasa selepas keluar wad ICU hari tu. Semua anak2 kembali bersama mak selepas sehari pulang ke kota. Kembali risau. Dan semakin risau.

Friday, August 19, 2011

Ramadhan Emak 2

Hari ni dah genap 7 hari mak kat ICU. Setiap hari aku akan call Kak Norli untuk tanya keadaan mak. Alhamdulillah, hari demi hari keadaan mak semakin baik. Itu berita yang aku terima setiap hari. Semoga mak cepat sembuh dan kembali seperti sediakala. Amiinn.

Esok, insyaAllah aku akan pulang untuk lihat keadaan mak di hospital. Semoga segalanya berjalan lancar.


Rindu untuk melihat mak kembali sihat.

Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan Emak 1

Semakin hari semakin serabut. Aku senyum, tapi dalamnya sangat pahit. Aku ketawa, tapi dalamnya ada tangisan.

Aku semakin serabut hari demi hari. Jiwa rasa bercelaru. Hati cepat terasa. Dalam hati ada taman. Sangat sensitif. Bila terkenangkan Emak.

Ya, Emak. Dah masuk hari ke-6 emak di ICU Hospital Taiping. Rasa sebak sentiasa bermain dalam hati. Bila dilayan pasti tidak dapat dibendung. Aku sebak.

Sejak Hari Jumaat lepas lagi emak dimasukkan ke ICU Hospital Taiping. Ramadhan mak tanpa sedar. Ramadhan mak dengan kesakitan. Aku nampak kesakitan mak. Aku dapat rasa di setiap tubuh mak. Kesakitan. Dan ia mengalir ke setiap salur darahku.

Aku sempat bersama mak ketika dia masih sedar pada hari Jumaat. Sebelum dia dimasukkan ke ICU. Mak masih boleh bercakap. Masih masih mampu tersenyum. Aku mohon ampun pada mak kerana lambat pulang. Sambil tangisan yang tidak dapat aku bendung. Aku sakit melihat keadaan mak. Mak hanya tersenyum.

Sehinggalah mak ditidurkan. Diberikan bantuan pernafasan. Semakin sebak.

Ya Allah, Kau ringankanlah kesakitan yang mak alami. Ringankanlah ujian-Mu ini Ya Allah. Semoga mak kembali ceria. Seperti dahulu.

Monday, August 8, 2011

Eat, Pray, Love

Semalam, Hari Ahad minggu pertama Ramadhan. Bangun tidur dah tengahari. Biasalah hari minggu. Tidur mau lebih. InsyaAllah aku akan berubah. huhu.

Sememangnya Datin akan menonton Melodi pada hari Ahad. Sementara menunggu si suami bangun tidur. Teruk tul si suami. Bila nampak je aku turun, Datin terus berbicara. "Aduh, peningnya duduk lama-lama dalam rumah ni... Jom keluar." Haha..ayat nak ajak keluar jalan-jalan memang ada klass.

So, hari ni mau ke mana? KLCC? Tidak! Aku sudah muak dengan KLCC. Sejak zaman bercinta asyik ke KLCC. Aku sudah bosan. Jauh sangat la KLCC.. The Mines. Ok, setuju. Sambil aku angguk2 kepala dan senyum. Nak beli 'tetikus tanpa wayar' kata Datin. Katanya 'tetikus tanpa wayar' boleh membuatkan laptopnya jadi pantas. Aku setuju sahaja.

Jadi, kami ke The Mines. Tidaklah terlalu jauh dari rumah. Mengambil masa 15 minit sahaja. Dekat. Aku suka. Jalan-jalan dalam The Mines dari jam 3 hingga jam 6. Setelah mendapatkan 'tetikus tanpa wayar', kami pun keluar. Perlu mencari tempat untuk berbuka puasa. Dan pilihan Datin adalah Chop N Steak Sri Serdang. Aku setuju juga. Aku tidak cerewet tentang makanan. Asal boleh, semua aku sebat.

Selepas membuat tempahan, aku ajak Datin ke Bazar Ramadhan Serdang. Mencari murtabak sedap. Bazar Serdang sudah tidak semeriah tahun2 sebelum ini. Agak kurang peniaga di sini. Mungkin peniaga semua sudah lari ke Bazar Putrajaya dan Bazar Bangi. Di sana lebih meriah. Mungkin.

Selepas kenyang menikmati Chicken Chop dan Chicken Rice Sizzling, kami mula merancang tempat untuk menunaikan Solat Maghrib, Isya' dan Terawih. Dan semestinya Masjid UPM menjadi pilihan. Menunaikan Solat Terawih 8 rakaat. Keberatan untuk meneruskan hingga 20 rakaat.

Pulang ke rumah sebelum jam 10 untuk menonton Perlawanan Bola Sepak. Man United lawan Man City.

Ramadhan

Salam,

Sekarang dah masuk minggu kedua Ramadhan. Alhamdulillah, minggu pertama Ramadhan dapat aku tempuhi dengan jayanya.

Hari pertama, aku berpeluang berpuasa di kampung bersama keluarga tercinta. Dan aku juga berpeluang berbuka bersama mak dan ayah. Lepas berbuka barulah aku pulang semula ke kota Kuala Lumpur. Nikmat berbuka bersama keluarga adalah sesuatu yang tiada tandingannya. Memang sangatlah bahagia. Akan ku nantikan peluang begitu sentiasa.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Amiin..

Tuesday, August 2, 2011

Pakcik Kayooo...

 Bukak je emeil, terus baca yang ni. entah Sape la insan pemurah ni.

Assalammuailaikum,

Saya ingin merpenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Puan Shahsilla Binti Sarippudin from Malaysia. Untuk makluman saya penghidap kanser di tahap yang serius. Dan doktor telah mengesahkan bahawa saya tidak akan dapat bertahan hidup lebih lama. Dengan murah hati nya saya ingin mendermakan  segala yang saya miliki dan ini adalah keinginan yang saya dan arwah suami saya telah rancang sebelum ini. Memandangkan kami tiada di kurniakan cahaya mata.
           
Dengan murah hati nya dan keikhlasan hati saya dan arwah suami saya. Dan saya percaya allah maha mengetahui niat saya ini. Dengan ini, saya menghulurkan atau menyumbangkan sejumlah wang sebanyak £2,000.000.00 (Dua Juta Paun) kepada anda. Dalam memudahkan semua urusan antara saya dan anda, saya akan meminta peguam saya menyediakan segala dokumen yang berkenaan. Dan dengan izin allah semua urusan akan berjalan dengan lebih lancar, dan pindah hak milik di antara kita tidak akan bermasalah. Semoga allah memberkati segala kerjasama dari anda dan gunakan lah pemberian saya ini dengan bijaksana.

Salam,
Puan Shahsilla Binti Sarippudin.
Reply to: mrs.shahsillabinti@live.com.my


aku akan jadi kayoo dalam sekelip mata. huh. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...